08 March 2010

Selamat Bersua Kembali

Salam bersua kembali diucapkan kepada khalayak pembaca blog sejarah dan tamadun Islam (STI). Hampir setahun (semenjak bulan Mei 2009) saya tidak mengemas kini blog ini kerana banyak tugasan yang perlu diselesaikan. Khasnya, ia berkaitan dengan Mahrajan 35 tahun Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, FPI, UKM (1974-2009). Tambahan pula, saya terlibat sama dengan urusan kehadiran 3 orang profesor pelawat ke Jabatan, iaitu Prof Mahayudin, Prof Jo Van dan juga Prof Munjid. Di akhir tahun 2009 pula (29-30 Disember), acara kemuncak Mahrajan berjaya dianjurkan dengan penuh gemilang, iaitu MALAYSIA CONFERENCE ON ARABIC STUDIES AND ISLAMIC CIVILIZATION (MACASIC). Bahkan persidangan ini berjaya menerbitkan prosidingnya (himpunan 81 makalah) sendiri setebal lebih kurang 1,400 halaman. Insha Allah, pada masa hadapan, saya akan cuba untuk mengemas kini blog STI ini dari semasa ke semasa, demi manfaat kita bersama.

Ucapan jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Saudara Hatta (telah dilakukan menerusi e-mel) yang telah memaklumkan saya mengenai kedapatan pautan yang 'tidak baik' pada blog STI ini, iaitu pautan e-referrer. Untuk makluman semua pembaca blog, saya telah deletekan pautan berkenaan kerana ia memaparkan beberapa pautan yang 'tidak baik', khasnya dalam usaha untuk kita menjulang tamadun terbilang ini. Ini memandangkan, pada peringkat awal penyediaan blog ini, e-referrer digunakan oleh setiap blogger untuk mengenal pasti jumlah/bilangan pengunjung ke sesuatu blog. Nampak gaya, ia turut membawa beberapa kemudaratan. Lantas saya mengambil keputusan untuk tidak lagi menggunakannya. Bagi para pengunjung blog STI yang sebelum ini menyedari akan pautan-pautan yang 'tidak baik' tersebut pada blog STI ini, saya mohon ribuan kemaafan atas ketidaksedaran saya selama ini. Terima kasih diucapkan kepada semua penyokong STI, khasnya kepada maklum balas Saudara Hatta. Jazakamu'Llah khayran kathiran :)


"STI: MENJULANG TAMADUN TERBILANG"